Membicarakan tentang SAKA adalah satu perkara sensitif. Sesuatu yang tidak nampak dan tidak mudah untuk diyakini. Masyarakat melayu memahami saka sebagai ilmu yang diperturunkan atau dipusakai daripada waris teratas kepada waris di bawahnya daripada ibu ataupun bapa kepada anak, daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucu atau cicitnya, ataupun ilmu yang dipusakai daripada seorang bapa saudara kepada anak saudara atau kepada seseorang yang berada dalam lingkungan keluarga.
Yang dimaksudkan dengan ‘ilmu yang dipusakai’ itu ialah ilmu yang ada kaitan dengan
jin-jin, sama ada jin berkenaan dibela, dibuat sahabat ataupun dibuat saudara, disedari atau tidak disedari. Dengan perantaraan makhluk tadi, waris berkenaan berupaya melakukan rawatan penyakit, menilik dan sebagainya dalam keadaan menurun atau tidak menurun.
Hasil daripada penglibatan makhluk ini juga waris adakalanya melibatkan diri dengan ilmu kebatinan mempertahankan diri seperti ilmu amalan puja kebatinan dan lain-lainnya atau ilmu kebatinan yang dinamakan amalan Al-Fatihah, silat syeikh, amalan sinar Islam dan sebagainya. Amalan kebatinan mempertahankan diri ini juga melibatkan ilmu kebal, ilmu penggerun, ataupun amalan yang lebih bersifat peribadi seperti ilmu seri muka, ilmu kebidanan tradisional atau ilmu andaman tradisional
Pemilik saka yang melibatkan ilmu perbomohan ataupun dukun yang diwarisi oleh seseorang akan membolehkan pewaris memiliki kebolehan untuk melakukan rawatan dan sebagainya yang berkaitan dengan ilmu kebatinan seperti yang pernah dilakukan oleh pewaris tadi, berupaya melakukan rawatan dalam keadaan menurun biarpun dia tidak pernah mempelajari ilmu kebatinan yang khusus. Dari sinilah lahirnya orang yang tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri, menurun lalu melakukan rawatan, berupaya menilik sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan sebagainya.
Hal demikian berlaku kerana makhluk tadi meresap dalam tubuh orang berkenaan, menguasai otak, jasad, lidah dan pergerakkan lalu menggunakan jasad manusia untuk bertindak. Keadaan seperti ini dikenali sebagai ‘menurun’ dimana makhluk halus tadi telah menurun atau meresap dalam tubuh manusia lalu bertindak melakukan sesuatu menurut tujuan asal makhluk ini meresap dalam tubuh manusia.
Pelbagai natijah luar biasa (nadir) mencarik kebiasaan adat dan tidak dapat difikiri oleh akal punca dan sebab musabab berlaku seperti yang dijelaskan. Iaitu boleh melakukan rawatan, menilik benda-benda ghaib, menjadi kebal, digeruni, mengangkat benda-benda berat dan sebagainya yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa. Makhluk yang berdampingan itu dalam proses masa tertentu menjadi sebahagian daripada dampingan manusia menyebabkan orang yang seumpama ini berupaya melakukan sesuatu yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa. Jin atau makhluk halus yang dibela oleh manusia, pada kebiasaannya memerlukan manusia yang biasanya terdiri daripada kaum keluarga atau terus berdampingan dengan manusia setelah tuan yang asal tadi meninggal dunia.
Makhluk yang seperti inilah yang dinamakan SAKA yang diperturunkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya. Penurunan saka boleh berlaku dengan sengaja atau tidak sengaja. Dilakukan dengan sengaja apabila seseorang itu secara berterangan menyatakan pada waris tertentu seperti anaknya yang dia adalah orang yang paling sesuai atau berkelayakkan mewarisi ilmu pemiliknya yang dimiliki selama ini. Apabila orang yang berkenaan menyatakan kesanggupannya menerima, maka bermula dari tarikh itu dia telah mewarisi saka tadi.
Penurunan saka juga boleh berlaku secara tidak langsung apabila seseorang waris itu menerima barang-barang tertentu, yang pada kebiasaannya terdiri daripda keris, lembing ataupun tombak atau objek lain seperti tangkal, azimat, batu geliga, akik dan sebagainya. Penting Objek-objek tersebut pada zahirnya merupakan benda yang dapat dipegang dan dirasa dengan tenaga atau dilihat oleh pancaindera.
Objek tersebut hakikatnya adalah merupakan lambang, dimana disebalik lembing atau batu geliga atau lain-lain objek tadi terdapat jin atau jin-jin berserta dengannya. Penurunan kaedah kedua ini biasanya berlaku setelah pewaris meninggal dunia dimana barang-barang tadi menjadi barang peninggalannya si mati (pewaris). Objek-objek ini terutamanya keris pada kebiasaannya dilangiri dengan air limau nipis pada malam-malam tertentu seperti malam Jumaat, sebulan sekali atau di malam Jumaat awal Muharram setiap tahun ketika bulan penuh dan dipersapkan dengan kemenyan. Limau nipis merupakan satu bahan penting yang sering digunakan dalam pelbagai upacara amalan kebatinan termasuk perubatan melayu tradisional untuk memutus ubat, mandi perajan, mandi membuang sial badan dan sebagainya.
Kaedah atau upacara melangiri senjata mungkin diketahui melalui pengajaran oleh pewaris ataupun melalui mimpi. Apabila seseorang itu menerima saka tadi, tidak kira samaada pada asalnya pewaris itu redha atau tidak lalu akhirnya tunduk menerima dan melakukan upacara atau syaratsyrat yang diajar secara langsung atau tidak langsung termasuk ketika mimpi, makhluk tadi akan semakin rapat dengan ‘tuan’ barunya yang boleh ‘diperintahkan’ melakukan sesuatu. Iaitu untuk tujuan rawatan seperti yang dijelaskan. Untuk membinasakan lawan atau orang lain dengan permintaan pelanggan yang datang menemuinya.
Dari sinilah lahirnya pelbagai jenis amalan kebatinan seperti ilmu pengasih, ilmu penunduk, ilmu seri muka, ilmu pemisah iaitu untuk memisahkan antara suami isteri, ilmu pelalau iaitu ilmu menyebabkan seseorang itu tidak kira lelaki atau perempuan tidak mendapat jodoh atau premis perniagaan yang tidak didatangi oleh pelanggan. Termasuk dalam ilmu kebatinan ini ialah khidmat daripada pemilik saka yang boleh digunakan untuk menyakiti seseorang yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak normal atau bertindak seperti orang yang tidak waras, santau dan sebagainya. Semua amalan ini termasuk dalam kategori ilmu sihir iaitu tindak tanduk manusia yang melibatkan jin-jin atau yang dikenali sebagai makhluk-makhluk halus. Perlu dijelaskan bahawa amalan sihir adalah salah satu perbuatan dosa besar yang membinasakan.
Ilmu Yang Diwarisi Melalui Saka Ada Dua Jenis.
Jenis Pertama Adalah seperti yang dijelaskan diatas yang ada kalanya boleh digunakan untuk sesuatu yang dianggap boleh memberi manfaat seperti untuk tujuan rawatan, ilmu pengasih, digunakan untuk mencari barang hilang dan sebagainya. Selain mencari barang hilang saka juga boleh digunakan untuk mencuri barang kepunyaan orang lain seperti mencuri wang, barang kemas, pakaian termasuk seluar dalam dan baju dalam. Terlalu banyak hadis membicarakan tentang keupayaan jin-jin yang mencuri bahan makanan iaitu kurma dizaman Nabi s.a.w. Selain boleh ‘digunakan’ untuk tujuan yang dijelaskan tadi, makhluk ini juga sering menyakiti orang lain, jiran-jiran termasuk kaum keluarga tuan saka tadi malah dalam keadaan tertentu makhluk ini boleh menyesatkan iman si empunya diri yang dianggap sebagai tuan tadi akan menyerang tuannya terutama ketika telah uzur,sakit atau ketika tua. Orang Melayu yang memahami hal-hal yang berkaitan dengan saka ini sering beranggapan bahawa makhluk ini seumpama tidak terkawal apabila tuannya meninggal dunia dan tidak ada dikalangan keluarga yang sedia untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh pewaris selama ini. Keadaan akan menjadi redha apabila salah seorang daripada waris sudi menjadi tuan kepada makhl;uk ini. Anggapan ini ada kebenarannya tetapi pada hakikatnya biarpun makhluk ini mempunyai tuan baru ia tetap menjadi masaalah kepada manusia terutama kepada keluarga yang terlibat kerana antara tujuan utama iblis dan syaitan itu ialah untuk menyesatkan manusia seberapa banyak yang boleh agar mereka dapat masuk keneraka bersamanya.
Jenis Kedua
Saka ataupun penyakit yang diwarisi daripada seorang pewaris kepada seorang atau beberapa orang waris akibat daripada gangguan atau serangan iblis dan syaitan yang berlaku turun temurun. Bermaksud sekiranya seorang pewaris itu sakit, sakit yang sama akan dideritai oleh wrisnya. Pada kebiasaannya sakit yang berpunca daripada saka tidak kira samada saka jenis pertama atau kedua adalah sama. Senagai contoh sekiranya seseorang itu tidak boleh tidur malam, selalu termenung, berasa sakit kepala seperti dibaji-baji lalu dia menghantuk-hantukan kepala maka keadaan yang sama akan dialami oleh keturunannya atau mereka yang diserang oleh saka tadi yang terdiri daripada kaum keluarganya. Tidak mudah untuk memberi penjelasan bahawa seseorang itu sakit akibat saka. Umumnya apabila sesuatu masaalah atau sakit itu dirujuk kepada mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan, maka selalunya dikatakan bahawa penyakit tersebut dirujuk sebagai kena buatan orang, kena sihir, gangguan, saka dan sebagainya.
Hakikatnya masaalah penyakit perlu dirujuk kepada pakar kerana punca penyakit itu adalah pelbagai akibat kecederaan seperti luka,patah, keracunan, stress, depress dan sebagainya akibat gangguan ataupun sihir. Segala punca gangguan ini sukar diakui oleh pengamal perubatan moden tetapi kesemua faktor yang dijelaskan berlaku kepada mangsa. Roh Kuat Elak Gangguan Saka Gangguan iblis dan syaitan merangkumi iktikad atau kepercayaan yang boleh menyebabkan seseorang itu sesat; kufur, syirik atau murtad. Selain daripada itu iblis dan syaitan juga mengganggu otak manusia menyebabkan seseorang mangsa itu berhadapan dengan masaalah yang berkaitan dengan otak, pada hati menyebabkan timbulnya rasa was-was, tidak percaya pada tuhan, pada agama yang dianuti dan sebagainya.
Iblis juga menganggu jasad manusia menyebabkan seseorang itu berasa sakit pada bahagian jasad yang berkenaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam menurut perjalanan darah."
Gangguan Fizikal Yang Dituruti Dengan Gangguan Iblis Dan Syaitan Orang yang lemah tubuhnya akibat kecederaan fizikal, disertai dengan roh yang lemah lebih mudah diganggu oleh iblis dan syaitan berbanding dengan mereka yang tidak menghadapi masaalah fizikal. Orang yang berhadapan dengan masaalah stress berpanjangan, lebih mudah diserang histeria berbanding dengan mereka yang hidup tenang, suasana yang menggalakkan dan berupaya meraih ketenangan hidup. Gangguan iblis dan syaitan ke atas manusia adalah sesuatu yang benar. Ia boleh berlaku yang melibatkan bahagian otak, hati, jasad. Seperti manusia, apabila kehidupan makhluk ghaib itu diganggu oleh manusia, biarpun perbuatan tersebut dilakukan diluar pengetahuan, makhluk ini akan bertindakbalas. Gangguan boleh berlaku sama ada ketika berada di hutan, ditempat sunyi jauh daripada manusia, dikubur-kubur dan sebagainya.
Tanpa kesalahan atau kesilapan manusia makhluk ini juga sering mengganggu manusia kerana di kalangan makhluk ini memang terkenal dengan kejahatannya. Inilah yang dinamakan ‘GANGGUAN’. Apabila kegiatan manusia itu disokong atau disertai oleh jin-jin yang terdiri daripada syaitan atau sebagainya, samaada makhluk tersebut dibela atau dibuat sahabat, maka ketika itu orang yang berkenaan telah melakukan perbuatan yang dinamakan ‘sihir’. Orang yang melakukannya dinamakan ‘tukang sihir’. Sihir tidak boleh berlaku kecuali dengan adanya penglibatan jin-jin seperti yang dijelaskan.
Meresap Dengan ilmu kebatinan yang dipelajari dengan sengaja atau tidak disengajakan, orang yang seperti ini berupaya menyeru jin atau jin-jin tersebut meresap masuk dalam tubuhnya. Ketika itu jasad manusia berkenaan akan menjadi seumpama sarung sematamata. Kegiatan berikutnya yang dilakukan oleh makhluk iaitu jin yang meresap dalam tubuh tadi. Ketika inilah orang yang berkenaan boleh melakukan kegiatan tertentu bergantung kepada keadaan. Ia boleh melakukan rawatan yang dikenali sebagai rawatan tradisional di mana kegiatan tersebut ada kalanya melibatkan amalan menurun, menilik, mengurut dan sebagainya.
Penglibatan makhluk ini dalam tubuh membolehkan seseorang itu melakukan pergerakkan silat biarpun dia tidak pernah mempelajari pergerakan fizikal ilmu persilatan sebelum itu, menjadi kebal dan sebagainya. Selain daripada itu, makhluk ini juga boleh digunakan untuk menyakiti atau menyihir orang lain. Menyebabkan lahirnya ilmu penunduk, ilmu penggerun, ilmu pemanis muka dan sebagainya. Perlu diperjelaskan bahawa kegiatan yang dijelaskan di atas ini tidak akan berlaku tanpa adanya penglibatan jin atau jin-jin yang meresap dalam tubuh manusia.
Apabila Orang Yang Memiliki Ilmu Meninggal Dunia Apabila orang yang berkenaan meninggal dunia, saka tersebut diwarisi oleh seorang atau beberapa orang waris tertentu. Kesan daripadanya mangsa akan menghadapi masaalah yang hampir sama dengan masaalah yang ditanggung oleh pewaris asal. Makhluk yang terlibat dengan kegiatan individu berkenaan perlu berdamping atau ‘dibela’ oleh orang lain, semata-mata untuk menyesatkan manusia yang biasanya terdiri daripada saudara mara. Dari sinilah lahirnya istilah SAKA, iaitu makhluk jin yang berdampingan dengan waris terkeatas itu diturunkan atau dipusakai oleh waris terkebawah, di mana penurunan ini selalunya berlaku dikalangan waris yang rapat.
Penurunan Saka Penurunan saka ini boleh berlaku dalam dua keadaan;
Berlaku secara terus : Orang yang mempunyai saka itu dengan terang-terangan memberitahu yang dia menurunkan ilmunya kepada orang tertentu. Waris yang terlibat kebanyakkannya tidak menyedari bahawa apa yang diturunkan atau yang dipusakai itu adalah terdiri daripada jin-jin atau hantu-hantu. Mereka beranggapan bahawa mereka adalah istimewa berbanding dengan waris-waris lain kerana mewarisi ilmu kebatinan.
Berlaku menurut kehendak : Penurunan ini berlaku menurut kehendak jin itu sendiri, lebih-lebih lagi sekiranya pewaris itu telah meninggal dunia. Biar dalam keadaan apa sekali pun, masaalah yang berkaitan dengan saka adalah sesuatu yang tidak mustahil berlaku. Ia melibatkan jin-jin, membolehkan seseorang itu melakukan sesuatu yang luarbiasa seperti yang diterangkan. Dan apabila seseorang itu menerima saka, ia akan mempunyai kebolehan untuk melakukan sesuatu seperti yang dilakukan oleh orang yang mempunyai saka yang asal. Satu jenis saka yang lain ialah saka yang merupakan penyakit atau gangguan daripada jin-jin tidak melibatkan rawatan.
Orang yang terlibat apabila diganggu saka adakalanya fungsi otaknya menjadi tidak normal, berjalan ditengah malam tanpa dapat mengawal diri, duduk termenung sendirian, marah tidak menentu, mengamuk dan sebagainya termasuk menghantuk-hantukkan kepala ke dinding. Manusia mudah terdedah kepada masaalah termasuk penyakit kerana manusia itu tidak mempunyai ketahanan diri yang ampuh yang dikenali sebagai ‘body resistance’. Orang yang seumpama ini mudah dijangkiti kuman batuk, selsema, sakit kulit dan sebagainya berbanding dengan orang yang mempunyai ketahanan diri yang kuat. Begitu juga dengan kekuatan roh, yang berupaya menolak pelbagai masaalah kebatinan atau kerohanian termasuk apa yang dikenali sebagai ‘saka’.
Kerana itu untuk memperlengkapkan diri daripada diganggu oleh saka iaitu jin-jin tadi, kita perlu mempunyai roh yang kuat. Roh yang kuat perlu pemahaman agama, di mana ia akhirnya ditwerjemahkan melalui amalan atau ibadah. Hanya dengan ilmu sahaja seseorang itu menaruh keyakinan terhadap Allah SWT dan rasa ikhlas ketika melakukan amalanamalan tersebut. Itulah yang dikenali sebagai amalan bertaqarrub iaitu memperhambakan diri kepada Allah SWT lalu akhirnya seseorang itu mendapat kurnia kasih Allah SWT.
Apabila ini berlaku, orang yang berkenaan akan memperolehi kekuatan zahir dan batin. Ketika ini apabila dia bermohon, Allah SWT akan memperkenankannya dan ketika memohon perlindungan, Allah SWT akan melindunginya. Demikianlah janji-janji Allah SWT terhadap hamba kekasihnya. Amalan-amalan ini melibatkan ibadah pada waktu malam, dimulai dengan sembahyang taubat, kemudian beristighfar, sembahyang tahajjud, sembahyang tasbih, berzikir, selawat dan diakhiri dengan sembahyang hajat. Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kita juga kepada mereka yang menghadapi masaalah yang sedemikian
No comments:
Post a Comment