Saturday, June 28, 2014

RUMAH DIKUNJUNGI DAN TIDAK DIKUNJUNGI MALAIKAT

Rumah dikunjungi malaikat diberkati Allah

DALAM kehidupan di dunia ini, setiap orang memerlukan tempat tinggal yang aman, damai, sejahtera, selesa dan harmoni sebagai tempat berlindung atau berteduh.

Malah, sebagai umat Islam, pasti kita juga mengharapkan rumah yang diduduki sentiasa mendapat rahmat dan berkat Allah.


Persoalannya, bagaimanakah cara kita selaku umat Islam untuk mendapatkan rumah yang dirahmati? Sebenarnya, antara faktor menyebabkan sesebuah rumah itu mendapat rahmat dan keberkatan adalah disebabkan rumah itu sentiasa dikunjungi Malaikat Rahmat seperti:

1)Malaikat Rahmat sentiasa taat menjunjung akan perintah Allah SWT dan tidak pernah menderhakai-Nya sebagaimana firman Allah dalam Surah At Tahriim ayat 6, yang bermaksud: “Mereka (malaikat) tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” Apabila Malaikat Rahmat memasuki rumah seseorang, inilah yang disifatkan sebagai satu rahmat, keuntungan dan kebaikan bagi penghuninya.

2)penghuni yang beriman akan dikawal dan dijauhkan daripada gangguan syaitan, memperoleh ketenangan dan ketenteraman hati serta dipohonkan keampunan oleh malaikat.

3)mereka dipelihara ketika tidur dan jaga, didoakan malaikat, selain doa mereka turut ‘diaminkan’ malaikat ketika mengerjakan solat.

4) ini antara kebaikan atau faedah rumah yang dimasuki Malaikat Rahmat. Oleh itu setiap orang mukmin hendaklah sentiasa memelihara perkara yang boleh mendekatkan dan memudahkan Malaikat Rahmat memasuki rumah kita.

5)sebaliknya, apabila malaikat tidak masuk ke dalam rumah kita, ditakuti pula syaitan akan mengambil tempat memasukinya.

6)Apabila syaitan berada pada satu tempat disebabkan ada maksiat dilakukan, malaikat tidak akan masuk ke tempat itu kerana syaitan adalah musuh malaikat.

Perlu diketahui, ada banyak sebab mengapa rumah atau tempat kediaman tidak dimasuki Malaikat Rahmat, antaranya:

1)Rumah orang yang memutuskan tali persaudaraan. Sesungguhnya menghubungkan silaturahim adalah wajib, manakala memutuskannya maksiat dan berdosa besar.

2)Rumah orang yang menderhaka kepada ibu bapa. Kewajipan anak terhadap ibu bapa ialah berbuat baik, taat dan menghormati mereka. Menderhaka adalah sebesar-besar dosa selepas syirik kepada Allah. Sesungguhnya keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa terhadap anaknya dan kemurkaan Allah terletak pada kebencian ibu bapa terhadap anaknya.

3)Rumah orang yang memakan harta anak yatim. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang diberi layanan baik terhadapnya. Dan seburuk-buruk rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang dianiaya.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Maajah)

4)Rumah yang mempunyai anjing. Islam menitikberatkan soal kebersihan dan kesucian. Adanya anjing dalam rumah seorang Muslim memungkinkan adanya najis pada persekitaran rumah disebabkan jilatan dan kencing anjing atau seumpamanya.
Riwayat Imam Al-Bukhari menyatakan, Abi Talhah mendengar baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk malaikat ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan tidak pula masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya patung.”

5)Rumah yang mengadakan majlis namun langsung tidak menyebut perkataan mengingati Allah. Sesuatu majlis yang tidak diisi dengan zikir seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir dan tidak diisi ucapan selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW disifatkan sebagai kelalaian, kerugian dan penyesalan disebabkan hilangnya kebajikan, tidak mendapat apa-apa ganjaran atau pahala, jauh daripada Malaikat Rahmat dan bertapaknya syaitan dalam majlis itu.
Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah satu kaum duduk dalam satu majlis di mana mereka tidak berzikir kepada Allah SWT melainkan ditimpakan ke atas mereka pengurangan pahala.” (Riwayat Al-Imam Ahmad)

6)Rumah yang banyak kedengaran di dalamnya caci maki. Contohnya mencaci maki sesama Muslim, mencaci maki orang yang meninggal dunia, kejadian alam, penyakit dan sebagainya.

Ini sebagaimana dinyatakan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang yang beriman bukan orang yang suka mencela, suka mengutuk, suka berbuat jahat dan bukan pula yang kotor lidahnya.” (Riwayat Al-Imam At-Tarmidzi)

7)Rumah orang yang dilaknat. Antara golongan yang dimaksudkan ialah orang yang terbabit dengan arak dan rasuah, orang yang merubah ciptaan Allah seperti membuat tatu pada tubuh badan, mencukur atau menipis bulu kening, lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.

10 PETANDA DIA JODOH KITA


Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)

Gunakan seluruh pancaindera

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

Tuesday, March 18, 2014

MAKNA MAKNA BACAAN DALAM SOLAT

Makna-makna bacaan dalam solat

Allah Maha Besar

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi,
dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik.
Sesungguhnya solatku,
Ibadatku,
hidupku,
matiku
adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.
Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak
menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Yang menguasai hari pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.


Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah daku,
Rahmatilah daku,
kayakan daku,
angkatlah darjatku,
rezekikan daku,
berilah aku hidayah,
sihatkanlah daku dan
maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta
keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim.
Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin.
Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku.
Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.
Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau.
Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.
Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Tuesday, March 4, 2014

SEJARAH SOLAT



Subuh:
Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.
Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

Zohor:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.
Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

Asar:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:
Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.



Maghrib:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:
Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

Isyak:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

Tuesday, February 25, 2014

AKU YANG BERNAMA DUIT!!!!!



Nama aku DUIT, kadang org panggil aku wang, fulus dan
mcm-mcm lagi.
 
Rupa aku biasa je, badan aku lemah tapi aku boleh
membuatkan satu dunia inginkan aku.

Aku juga boleh merubah sifat seseorang manusia, kerana
manusia mengidolakan aku.

Banyak orang merubah keperibadiannya, mengkhianati
kawan,memutuskan persaudaraan, menjual maruah,
malahan meninggalkan keyakinan imannya, demi aku!

Aku tak mengerti perbezaan orang senang dgn orang susah,
tetapi manusia memakai aku untuk dijadikan loncatan darjat,
menentukan kaya miskin dan terhormat atau terhina.
Aku bukan Iblis, tapi seringkali manusia melakukan
kejahatan demi mendapatkan aku.

Aku juga bukan orang ketiga, tetapi banyak suami isteri
bergaduh dan berpisah kerana aku. Anak dan ibubapa
berselisihan kerana aku.


Sangat jelas juga aku bukan tuhan, tapi manusia
menyembah aku seperti tuhan,bahkan kerap kali hamba-
hamba tuhan lebih menghormati aku, padahal seringkali kita
diingatkan supaya jgn sesekali menjadi hamba duit.

Aku tidak pernah mengorbankan diriku untuk sesiapapun,
tetapi ramai orang yang rela mati demi aku.
Ingin aku ingatkan bahawa aku hanya boleh menjadi alat
untuk membayar resit ubat, tetapi aku tidak mampu untuk
memanjangkan jangka hayat hidup seseorang.

Sedarkah anda, aku juga satu alat yang boleh membuatkan
kamu bersedekah dan memperolehi pahala dan
keberkatanNya.

Kebanyakan orang sanggup bekerja demi aku siang dan
malam. Walhal, tidak kah mereka sedar bahawa aku
sebaliknya boleh bekerja untuk mereka dengan lebih effisien
lagi.

Andai aku digunakan untuk bersedekah, nescaya aku tidak
akan pernah putus dari kamu.
Aku akan sering mendatangi kamu dengan keberkatan dari
Nya.
Gunakanlah aku ke jalan yang diredhai olehNya.

Yang benar,
Duit............

Saturday, February 22, 2014

BERKAHWIN MURAHKAN REZEKI



Berkahwin atau mendirikan rumah tangga merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Perkahwinan itu sunnah aku. Sesiapa yang menolak sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku.”
(Riwayat Bukhari)

Hari ini sering kita melihat bahawa sesuatu perkahwinan itu suatu perkara yang rumit dan menyusahkan.

Kenapa perkara ini boleh terjadi ? Ramai di antara kita yang beranggapan, nak kahwin mesti ada kereta, mesti ada wang yang banyak, mesti ada itu dan ini …

Cuba kita ambil iktibar dari kisah yang berlaku lebih kurang 1400 tahun dahulu yang mana boleh kita jadikan panduan hidup ini. Insya-Allah …

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. didatangi oleh seorang lelaki. Lelaki ini mengaku dirinya seorang yang miskin. Kemudian ia meminta jalan keluar agar terlepas dari belenggu kemiskinan.

Rasulullah s.a.w tanpa banyak fikir lagi terus menyuruh lelaki itu berkahwin. Lelaki ini sangat senang dengan saranan yang diberikan Rasulullah. Dengan keyakinan yang mantap, akhirnya lelaki itu berkahwin.

Setelah sekian lama berkahwin, lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah dan mengadukan nasibnya, “Ya Rasulullah saya sudah berkahwin tetapi masih tetap miskin, bagaimana ya Rasulullah ?”. “Kahwin lagi,” jawab Rasulullah singkat.

Si lelaki tanpa banyak bertanya lagi. Beliau percayakan kepada Rasulullah. Sebab tidak mungkin Rasulullah mahu menipu ummatnya. Akhirnya lelaki itu berkahwin lagi dengan gadis lain.

Namun beberapa waktu kemudian lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah dan mengadukan masalahnya : “Ya Rasulullah, isteri saya sudah dua tapi saya masih miskin, bagaimana ya Rasulullah… ?” keluh lelaki itu. “Kahwin lagi,” jawab Rasulullah singkat.

Hati lelaki itu berasa senang apabila mendengar jawapan Rasulullah.


Kemudian beliau berkahwin buat kali ketiga. Namun setelah beberapa lama keadaan tetap juga belum berubah. Mulanya ia malu mengadu kepada Rasulullah, tapi apakan daya ia masih tetap miskin. Dengan berat hati beliau mendatangi Rasulullah dan menyampaikan masalahnya. “Ya Rasulullah, engkau telah menyuruhku menikah untuk ketiga kalinya, tapi aku tetap miskin. Sekarang apa yang harus kulakukan?”, adu lelaki itu. “Berkahwinlah lagi,” kata Rasulullah.

Akhirnya si lelaki itu menikah buat kali keempat. Dan benarlah kata Rasulullah. Ternyata isteri keempatnya ini membawa perubahan di dalam kehidupannya.

Dengan kepandaiannya menenun, ia mengajar kemahiran tersebut kepada tiga madunya.

Akhirnya usaha tersebut mendatangkan keuntungan dan kekayaan. Perusahaan industrinya maju dan mampu mencukupi keperluan rumah tangga lelaki itu serta isteri-isterinya.

Sabda Rasulullah bermaksud : “Carilah rezeki dengan menikah” (Riwayat Ibnu Abbas)

Firman Allah Taala bermaksud : “Dan kahwinilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan.

Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
(surah an-Nur :32)

Dengan mengambill iktibar dan teladan dari kisah di atas, Insya-Allah jika niat kita ikhlas dan murni serta tujuan berkahwin itu kerana Allah, tidak mustahil segala gejala-gejala sosial dapat dihindarkan.

BAHANGNYA API NERAKA YANG ALLAH CIPTAKAN



Setelah Nabi Adam AS dihantar ke dunia kerana kesalahanya memakan buah larangan maka ALLAH swt telah memerintahkan Jibril as supaya mengambil api dari neraka untuk dihantar ke dunia untuk kegunaan nabi adam as. Maka jibril as pun diperintahkan untuk meminta api tersebut daripada malaikat penjaga api neraka iaitu Zabaniah.

Jibril: wahai zabaniah, aku diperintah untuk mengambil sedikit api neraka untuk dihantar ke dunia bagi kegunaan adam as.

Zabaniah: sebanyak mana sedikit itu ?

Jibril: sebesar kurma...

Zabaniah: kalau sebesar buah kurma api neraka itu engkau bawa nescaya akan cairlah tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi akibat kepanasanya.

Jibril: kalau begitu berilah aku sebesar separuh dari buah kurma...

Zabaniah: kalau sebesar separuh buah kurma api neraka ini engkau letakan di dunia nescaya tidak akan turun walaupun setitik hujan dari langit dan tidak ada suatu pun tumbuhan akan tumbuh di bumi nanti..

Memandangkan keadaan yang rumit ini maka jibril as pun menghadap Allah untuk mendapatkan saiz yang perlu dihantar ke dunia. Allah swt pun memerintahkan supaya jibril mengambil sebesar ZARAH sahaja dari api neraka untuk dibawa ke dunia. Maka jibril as pun mengambil api neraka sebesar zarah dari zabaniah tetapi oleh kerana kepanasan yang keterlaluan api neraka sebesar zarah itu terpaksa disejukan dengan mencelupnya sebanyak 70 kali ke dalam sungai di syurga dan sabanyak 70 buah sungai. = 70 x 70

Selepas itu jibril as pun membawa api itu turun ke dunia dan diletakan di atas sebuah bukit yg tinggi, tetapi sejurus setelah diletakan tiba-tiba bukit itu terus meleleh cair maka cepat-cepat jibril mengambil semula api tersebut dan dihantar semula ke neraka.

Hanya sisa-sisanya sajalah yang terdapat di dunia ini seperti api yang sering kita gunakan untuk berbegai keperluan dan juga api yang terdapat di gunung berapi dan lain lain lagi.

PENGAJARAN: Bayangkanlah kepanasan api neraka yg sebesar zarah yang terpaksa disejukan dalam 70 buah sungai dengan sebanyak 70 celup setiap sungai dan hanya sisanya saja itupun manusia tidak dapat bertahan akan kepanasanya bagaimana dengan api di neraka itu sendiri. SEBESAR ZARAH SAHAJA.