Saturday, June 28, 2014

RUMAH DIKUNJUNGI DAN TIDAK DIKUNJUNGI MALAIKAT

Rumah dikunjungi malaikat diberkati Allah

DALAM kehidupan di dunia ini, setiap orang memerlukan tempat tinggal yang aman, damai, sejahtera, selesa dan harmoni sebagai tempat berlindung atau berteduh.

Malah, sebagai umat Islam, pasti kita juga mengharapkan rumah yang diduduki sentiasa mendapat rahmat dan berkat Allah.


Persoalannya, bagaimanakah cara kita selaku umat Islam untuk mendapatkan rumah yang dirahmati? Sebenarnya, antara faktor menyebabkan sesebuah rumah itu mendapat rahmat dan keberkatan adalah disebabkan rumah itu sentiasa dikunjungi Malaikat Rahmat seperti:

1)Malaikat Rahmat sentiasa taat menjunjung akan perintah Allah SWT dan tidak pernah menderhakai-Nya sebagaimana firman Allah dalam Surah At Tahriim ayat 6, yang bermaksud: “Mereka (malaikat) tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” Apabila Malaikat Rahmat memasuki rumah seseorang, inilah yang disifatkan sebagai satu rahmat, keuntungan dan kebaikan bagi penghuninya.

2)penghuni yang beriman akan dikawal dan dijauhkan daripada gangguan syaitan, memperoleh ketenangan dan ketenteraman hati serta dipohonkan keampunan oleh malaikat.

3)mereka dipelihara ketika tidur dan jaga, didoakan malaikat, selain doa mereka turut ‘diaminkan’ malaikat ketika mengerjakan solat.

4) ini antara kebaikan atau faedah rumah yang dimasuki Malaikat Rahmat. Oleh itu setiap orang mukmin hendaklah sentiasa memelihara perkara yang boleh mendekatkan dan memudahkan Malaikat Rahmat memasuki rumah kita.

5)sebaliknya, apabila malaikat tidak masuk ke dalam rumah kita, ditakuti pula syaitan akan mengambil tempat memasukinya.

6)Apabila syaitan berada pada satu tempat disebabkan ada maksiat dilakukan, malaikat tidak akan masuk ke tempat itu kerana syaitan adalah musuh malaikat.

Perlu diketahui, ada banyak sebab mengapa rumah atau tempat kediaman tidak dimasuki Malaikat Rahmat, antaranya:

1)Rumah orang yang memutuskan tali persaudaraan. Sesungguhnya menghubungkan silaturahim adalah wajib, manakala memutuskannya maksiat dan berdosa besar.

2)Rumah orang yang menderhaka kepada ibu bapa. Kewajipan anak terhadap ibu bapa ialah berbuat baik, taat dan menghormati mereka. Menderhaka adalah sebesar-besar dosa selepas syirik kepada Allah. Sesungguhnya keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa terhadap anaknya dan kemurkaan Allah terletak pada kebencian ibu bapa terhadap anaknya.

3)Rumah orang yang memakan harta anak yatim. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang diberi layanan baik terhadapnya. Dan seburuk-buruk rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang dianiaya.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Maajah)

4)Rumah yang mempunyai anjing. Islam menitikberatkan soal kebersihan dan kesucian. Adanya anjing dalam rumah seorang Muslim memungkinkan adanya najis pada persekitaran rumah disebabkan jilatan dan kencing anjing atau seumpamanya.
Riwayat Imam Al-Bukhari menyatakan, Abi Talhah mendengar baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk malaikat ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan tidak pula masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya patung.”

5)Rumah yang mengadakan majlis namun langsung tidak menyebut perkataan mengingati Allah. Sesuatu majlis yang tidak diisi dengan zikir seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir dan tidak diisi ucapan selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW disifatkan sebagai kelalaian, kerugian dan penyesalan disebabkan hilangnya kebajikan, tidak mendapat apa-apa ganjaran atau pahala, jauh daripada Malaikat Rahmat dan bertapaknya syaitan dalam majlis itu.
Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah satu kaum duduk dalam satu majlis di mana mereka tidak berzikir kepada Allah SWT melainkan ditimpakan ke atas mereka pengurangan pahala.” (Riwayat Al-Imam Ahmad)

6)Rumah yang banyak kedengaran di dalamnya caci maki. Contohnya mencaci maki sesama Muslim, mencaci maki orang yang meninggal dunia, kejadian alam, penyakit dan sebagainya.

Ini sebagaimana dinyatakan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang yang beriman bukan orang yang suka mencela, suka mengutuk, suka berbuat jahat dan bukan pula yang kotor lidahnya.” (Riwayat Al-Imam At-Tarmidzi)

7)Rumah orang yang dilaknat. Antara golongan yang dimaksudkan ialah orang yang terbabit dengan arak dan rasuah, orang yang merubah ciptaan Allah seperti membuat tatu pada tubuh badan, mencukur atau menipis bulu kening, lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.

10 PETANDA DIA JODOH KITA


Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)

Gunakan seluruh pancaindera

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.